MERLIMAU, 7 April - Jabatan Perikanan Negeri Melaka akan meneruskan pemantauan berterusan selama 20 hari dengan melakukan pengujian secara berkala terhadap dwicangkerang di Melaka.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, ia dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) Program Sanitasi Kerang-Kerangan Kebangsaan (NSSP) yang ditetapkan.
Pemantauan akan dibuat sehingga tahap keselamatan bacaan biotoksinnya berada pada paras dibenarkan serta kupang disahkan selamat untuk dimakan.
"Perikanan sudah kita memantau, dalam tempoh seminggu nanti kita akan ambil sampel yang kedua sama ada ada lagi atau tidak. Kalau ada kita akan ambil sampel yang ketiga hinggalah 20 hari. Kalau jelas baru kita akan beritahu.
"Kalau selagi mana tidak jelas, tidak akan buatkan proses proses untuk makluman kepada semua .Setakat ini memang kita henti sementara, jadi kita menyeru kepada seluruh rakyat negeri Melaka terutamanya produk produk dwicangkerang daripada Selat Melaka daripada Port Dickson hinggalah ke Sebatu ini memang tak ada jualanlah," kata Dr Akmal.
Buat masa ini katanya penjualan dan pembelian kupang dari Melaka dihentikan.
Dr Akmal bercakap kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Semarak Syawal Agro Madani Peringkat Melaka di Pasar Tani Merlimau.
Terdahulu pada 5 April, Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) melarang orang ramai memakan dwicangkerang dari Melaka berikutan hasil analisis dijalankan menunjukkan kehadiran alga Alexandrium yang berbahaya kepada kesihatan manusia.
Sementara itu Dr Akmal berkata, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka menyasarkan nilai jualan lebih RM450,000 dalam Program Jualan Agro Madani Edisi Mantai Aidilfitri.
Katanya, sebanyak 11 lokasi untuk penganjuran program tersebut di enam parlimen di negeri itu.
"Kita ada Program Jualan Agro Madani Edisi Mantai Aidilfitri yang kita adakan setiap parlimen dalam negeri Melaka, lebih kurang 11 lokasi yang mana program sebegini kita telah ada promosi harga jualan yang murah daripada harga pasaran.
"Contohnya ayam seekor RM10 ke RM12, daging sekilo RM30 ke RM32 dan bergantung pada lokasi, ada lokasi yang kita dapat murah apabila ada yang dapat subsidi daripada wakil wakil rakyat ia akan dapat lagi murahlah," katanya.
Untuk Program Semarak Syawal Agro Madani pula, sasaran nilai jualan lebih RM400,000 melibatkan tujuh penganjuran program pada 4 hingga 9 April.