KOTA KINABALU, 26 September - Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Kota Kinabalu bakal menjadi pusat latihan lanjutan pengendalian teknologi dron tanpa pemandu (UAV).
Sebanyak enam unit UAV yang disumbangkan kerajaan Jepun diterima bawah program Bantuan Keselamatan Rasmi (OSA).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, UAV berkenaan adalah sebahagian daripada 14 unit yang diterima Malaysia, dengan enam daripadanya ditempatkan khusus di Kota Kinabalu.
"Kita tahu bahawa peperangan sekarang banyak menggunakan teknologi dan antaranya ialah dron. Jadi kita juga tidak boleh ketepikan soal ini dan tidak boleh tertinggal dan untuk itu kita telah memulakan usaha-usaha seperti ini untuk kita lengkapkan perkhidmatan kita dengan dron dan bangunkan keupayaan anggota-anggota kita," katanya semasa melakukan lawatan Kerja ke Pangkalan TLDM kota Kinabalu, Sabah.
Menurut beliau, pengoperasian UAV ini dijangka meningkatkan keupayaan ATM dalam menjaga perairan strategik Sabah yang bersempadan dengan Filipina dan Indonesia selain berdekatan dengan laluan penting antarabangsa seperti Laut Sulu, Laut Sulawesi dan Laut China Selatan.
Dalam lawatan tersebut, program Jelajah Wira Madani turut dilancarkan, menjadi inisiatif kebajikan bagi memperkukuh kesejahteraan anggota ATM.
Datuk Seri Mohamed Khaled dalam pada itu menegaskan, anggota tentera sentiasa bersiap sedia menghadapi bencana dan menjadi barisan hadapan untuk membantu rakyat.
Untuk itu beliau mengharapkan kerjasama semua pihak bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terjamin.