Pameran Kembara Utara pamer lebih 80 karya seniman wilayah utara

Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin berkenan melihat sebahagian lukisan yang dipamerkan pada Pameran Kembara Utara/ BERNAMA

ALOR SETAR, 11 Januari – Lebih 80 karya seni terpilih daripada para seniman berasal dari Kedah, Pulau Pinang, Perlis dan Perak dipamerkan sempena Pameran Kembara Utara di Balai Seni Negeri Kedah di Dataran Medan Bandar, di sini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pameran anjuran BNM MAG dengan kerjasama Lembaga Muzium Negeri Kedah, berlangsung sehingga 11 Mei.
  • Edaran kedua siri Kembara Utara menyorot seni, sejarah dan budaya wilayah utara Semenanjung.
  • Koleksi menggambarkan hubungan antara pembangunan ekonomi mampan dan warisan budaya hidup.
  • Wilayah utara diiktiraf sebagai paksi penting seni Malaysia, menampilkan tokoh dan medium tradisi serta kontemporari.

Pameran secara percuma anjuran Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia (BNM MAG) dengan kerjasama Lembaga Muzium Negeri Kedah itu diadakan bermula hari ini sehingga 11 Mei ini.

Gabenor Bank Negara, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata Pameran Kembara Utara merupakan edisi kedua daripada siri pameran seni bergerak yang membawa orang ramai menelusuri denyut seni, sejarah, dan budaya dari wilayah utara Semenanjung Malaysia.

Usaha tersebut berlandaskan pegangan bahawa seni wajar dinikmati oleh semua.

“Bagi BNM, pengumpulan dan pemaparan seni adalah sebahagian daripada usaha memahami dan merakam perjalanan budaya masyarakat kita. Melalui seni, kisah, nilai dan aspirasi dapat disampaikan secara lebih dekat dan bermakna, melengkapi rekod sejarah yang sedia ada.

“Koleksi ini mencerminkan bagaimana pembangunan ekonomi yang mampan turut disokong oleh warisan budaya yang hidup segar dalam kehidupan rakyatnya,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pameran Kembara Utara di Balai Seni Negeri Kedah, di sini hari ini.

Perasmiannya disempurnakan oleh Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan turut disaksikan Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff dan anakanda baginda, Tunku Sulaiman Badlishah.

Datuk Seri Abdul Rasheed berkata seni sepatutnya merentas sempadan geografi, lapisan masyarakat, dan generasi kerana ia boleh memperkaya pemikiran, memperkukuh jati diri, dan memperluas cara melihat dunia.

Katanya, wilayah utara sememangnya menjadi salah satu paksi penting perkembangan seni Malaysia.

Dari sawah padi Kedah, ke batu kapur Perlis, ke kampung tradisi Perak, hingga ke semangat kosmopolitan Pulau Pinang, wilayah itu memiliki identiti visual yang kukuh, bersulamkan tekstur, warna, dan ceritera tersendiri.

Kedah khususnya, mempunyai kedudukan istimewa melalui sumbangan tokoh-tokoh unggul seperti Ibrahim Hussein serta Sharifah Fatimah dengan karya abstrak mereka.

Manakala Abdullah Ariff dan Yong Mun Sen pula merakam keindahan landskap tempatan seperti cahaya tropika, sawah padi, dan kehidupan seharian masyarakat dan kini terdapat juga bentuk seni baharu yang berlandaskan warisan.

Karya Chuah Thean Teng pula mengangkat batik sebagai medium seni halus moden, dengan olahan ekspresi kontemporari yang unik.