KUALA LUMPUR, 22 Ogos - Pameran interaktif 3D Gaza Time Tunnel yang menampilkan pengalaman realiti maya (VR) perjuangan rakyat Palestin menjadi tarikan utama sempena Karnival Sumud Nusantara 2025 di Dataran Merdeka. Program bermula hari ini sehingga Ahad depan bersempena Malam Himpunan & Selawat Malaysiaku Bersama Gaza.
Ketua Pameran MAPIM 3D Gaza Time Tunnel, Mohd Zairul Azmir Zuhanis berkata, khemah khas itu memberi peluang kepada pengunjung pelbagai latar belakang untuk memahami sejarah Gaza.
“Dalam pameran VR percuma ini, pengunjung boleh menyaksikan sendiri momen ikonik perjuangan Gaza termasuk kisah tokoh besar seperti Sheikh Ahmad Yassin, Ismail Haniyeh dan Yaya Sinwar,” katanya ketika ditemui pada sesi persiapan awal pameran.
Selain peranti VR, khemah tersebut turut mempamerkan artifak asal dari Gaza seperti mata wang, manuskrip lama dan koleksi khas yang dibawa masuk ke Malaysia. MAPIM juga menyediakan ruang “Freedom” iaitu tapak jualan produk buatan masyarakat Gaza bagi mengumpul dana untuk disalurkan kembali kepada rakyat di sana.
Pelbagai aktiviti keluarga turut diadakan termasuk pertandingan mewarna, aktiviti kesukanan dan persembahan seni di pentas utama. Acara berlangsung setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 12 malam sepanjang karnival.
Kemuncak program pada Ahad bakal menyaksikan pelancaran Deklarasi Sumud Nusantara serta ucapan khas oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga penaung gerakan, sebagai tanda solidariti Malaysia terhadap Palestin.
Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM Malaysia, Datuk Ahmad Sani Datuk Abdul Alim Araby berkata, acara itu merupakan manifestasi solidariti besar-besaran Malaysia terhadap penderitaan rakyat Palestin sejak sekian lama.
Deklarasi Sumud Nusantara bakal menghimpunkan masyarakat sivil daripada 10 negara bagi merangka pelan aksi susulan pascahimpunan.