fb fb fb fb fb

'Palestine Rays Of Hope', tanda keprihatinan berterusan Malaysia

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 2 Disember- Program 'Palestine Rays Of Hope' menjadi platform untuk orang ramai menyuarakan sokongan dan bantuan kepada rakyat Palestin.

Penasihat Kehormat Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR), Nurul Izzah Anwar berkata ia bertujuan memperluas jaringan sedia ada selain meraikan pihak berkepentingan yang mendukung perjuangan MAHAR selama ini.

"Kita mahu meramaikan dan juga memperkukuh jaringan. Bukan sahaja denga para penderma tetapi juga meningkatkan kesedaran berkenaan genosid yang sedang berlaku di Palestin.

Selain itu, ia dapat membantu mereka warga Palestin yang bertapak di Malaysia atau yang mengalami kesusahan dan cabaran sekali gus memberi dokongan yang lebih menyeluruh," kata Nurul Izzah kepada pemberita pada program 'Palestine Rays Of Hope' di ibu negara.

Menurut Presiden MAHAR, Jismi Johari, usaha mengumpul dana menjadi fokus utama MAHAR dalam membantu krisis kekurangan makanan dan keperluan asas yang dialami rakyat Palestin ketika ini.

"Kita merancang untuk mengutip lebih kurang 350,000 dolar untuk bantuan beberapa fasa. Fasa pertama, untuk bantuan musim sejuk melibatkan pakaian panas dan juga makanan. Kemudian, kita rancang untuk fasa seterusnya termasuk di bulan Ramadhan dan sebagainya," kata Jismi kepada pemberita.

Duta kemanusiaan MAHAR, Shahrul Anuar Zain menyeru orang ramai untuk bersama-sama memberi sumbangan kepada saudara seagama kita di Gaza, Palestin.

"Hari ini kita melancarkan kempen 'Palestine Raise Of Hope' dan saya harapkan individu di luar dan juga wakil korporat dapat bersama-sama kami untuk mencari dana bagi membantu saudara kita di Palestin khususnya di Gaza," kata Shahrul Anuar kepada pemberita.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM