fb fb fb fb fb

Palam pintu tercabut 'Made in Malaysia': CAAM sedia tawar bantuan

Pintu pesawat yang tertulis perkataan 'Made in Malaysia' dijumpai tersekat di atas dahan pokok halaman belakang rumah seorang guru sains, Bob Sauer di Portland

KLANG, 19 Januari - Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) telah menghubungi Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat (AS) berhubung kejadian palam pintu pesawat Alaska Airlines Boeing 737 Max 9 yang tercabut, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Anthony berkata, CAAM bersedia menawarkan bantuan kepada FAA selepas Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) AS mengesahkan palam pintu tersebut dibuat di Malaysia.

"CAAM sudah menghubungi FAA untuk menawarkan bantuan mereka berikutan laporan palam pintu itu disahkan dibuat di Malaysia.

"Bagaimanapun, mereka memberitahu akan merujuk kita semula sekiranya memerlukan sebarang bantuan.

"Walaupun palam pintu itu dibuat di Malaysia, ia adalah komponen yang berada di bawah kelulusan FAA...dari segi kelulusan produk ia di bawah FAA," katanya.

Beliau berkata demikian selepas perasmian pelabuhan pelayaran antarabangsa pertama negara, Costa Serena di sini, hari ini.

Semalam, NTSB mengesahkan palam pintu itu dari pesawat Boeing 737-9 MAX yang diterbangkan oleh Alaska Airlines pada 5 Januari lalu dan terjatuh di kawasan kejiranan barat daya Portland.

Pintu pesawat yang tertulis perkataan 'Made in Malaysia' dijumpai tersekat di atas dahan pokok halaman belakang rumah seorang guru sains, Bob Sauer di Portland, AS.

GRACE AISYAH KEDAYAN