fb fb fb fb fb

Pakej internet berkelajuan tinggi lebih murah, stabil untuk sekolah mulai 1 Julai depan

Menteri Komunikasi pada program tinjauan PoP di Menara Balimbang, Sekolah Kebangsaan Balimbang, Pulau Bum Bum, Semporna Sabah hari ini/Foto Kementerian Komunikasi

SEMPORNA, 18 Mei - Kerajaan akan menyediakan pakej khas langganan internet jalur lebar talian tetap berkelajuan tinggi yang lebih stabil kepada sekolah-sekolah di seluruh negara mulai 1 Julai depan.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata pakej khas itu untuk dilanggan sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Point of Presence (PoP) dengan harga lebih murah .

Fahmi berkata, kerajaan membina 4,323 PoP di kawasan berhampiran sekolah luar bandar yang melibatkan peruntukkan sebanyak RM4.6 bilion.

“Perinciannya akan diumumkan (nanti), tetapi mulai 1 Julai sekolah di bawah KPM, ada 10,000 sekolah, akan dapat memilih pakej internet lebih laju, lebih murah.

“Kerajaan berharap infrastruktur telekomunikasi yang disediakan ini dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh rakyat khususnya di Sabah untuk meningkatkan taraf hidup, melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran, serta menerokai gaya hidup baharu yang lebih berkualiti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program tinjauan PoP di Menara Balimbang, Sekolah Kebangsaan Balimbang, Pulau Bum Bum, di sini hari ini.

"Secara keseluruhan, sebanyak 437,000 buah premis akan tersedia dengan perkhidmatan infrastruktur jalur lebar berkelajuan tinggi apabila projek ini siap kelak.

"Manfaat ini diperoleh melalui pelaksanaan PoP Fasa 1 dengan perancangan 630 PoP dan PoP Fasa 2 dengan perancangan 3,693 PoP," ujarnya lagi.

Katanya lagi, sehingga Mei 2024 sebanyak 1,044 PoP daripada 4,370 PoP telah disiapkan.

Manakala 59 PoP lagi berjaya disiapkan sepenuhnya di Sabah.

Projek ini dijangka siap secara berperingkat di pelbagai zon menjelang akhir 2025 yang melibatkan kesalinghubungan digital berasaskan hab rangkaian gentian optik, terutamanya di kawasan luar bandar.

GRACE AISYAH KEDAYAN