fb fb fb fb fb

Bilangan pakar onkologi negara dijangka meningkat menjelang 2040

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 5 Oktober- Bilangan pakar onkologi negara dijangka meningkat kepada 400 orang menjelang tahun 2040, berbanding 175 orang ketika ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad yakin sasaran itu boleh dicapai dengan penyertaan Malaysia dalam program 'Fellowship of the Royal College of Radiologists' (FRCR) dalam bidang onkologi klinikal.

Beliau optimis bahawa Institut Kanser Negara (IKN) akan terus memainkan peranan sebagai pusat kecemerlangan, sejajar dengan usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk meningkatkan bilangan pakar onkologi di negara ini.

Ini termasuk penubuhan pusat kanser di Kedah dan Sarawak, bagi memperkukuh penyediaan kemudahan rawatan dan menampung keperluan tenaga pakar.

"Kedua-dua fasiliti ini, insya-Allah suatu hari nanti akan menjadi pusat rawatan kanser utama di utara khususnya di Kedah, dan juga Institut Kanser Sarawak.

"Saya yakin ia akan membantu menangani masalah yang sebelum ini memaksa pesakit ke Kuala Lumpur, Lembah Klang, atau IKN..dengan adanya pusat-pusat ini, ia akan dapat mengurangkan masa menunggu serta mempercepatkan rawatan kerana kanser memerlukan rawatan segera," katanya kepada pemberita di sini.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM