KUALA LUMPUR, 28 Ogos- Paip pecah di kawasan Jalan Pantai Permai dijangka siap dalam tempoh tiga minggu, demikian dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr. Zaliha Mustafa.
"Ini akan diambil tindakan segera oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan juga pihak-pihak yang berwajib untuk kita memastikan akhirnya paip ini diperbaiki secepat mungkin.
"...dan paling utama adalah bahagian Indah Water Konsortium (IWK) diperbaiki dahulu dan kemudiannya kita di kawasan sekitar," katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau kawasan longkang runtuh di Jalan Pantai Permai, Kampung Kerinchi di ibu negara.
Menteri Komunikasi merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil turut menyertai sesi tinjauan berkenaan.
Isnin lalu DBKL menerusi hantaran di Faceebok memaklumkan telah mengambil langkah segera berikutan kejadian longkang runtuh di lokasi itu.
Dalam pada itu semua sistem saliran di Kuala Lumpur perlu melakukan ujian ketahanan.
Perkara itu susulan kebimbangan orang ramai terhadap keselamatan bandaraya Kuala Lumpur terutama selepas berlakunya insiden mendapan tanah di Jalan Masjid India.
"Setakat yang kita tahu kebanyakan pembangunan yang ada di Kuala Lumpur macam sistem perparitan tadi sudah lebih daripada 30 tahun. Memang kita perlu melakukan apa integriti untuk melakukan percubaan di semua sistem-sistem saliran di sekitar Kuala Lumpur," katanya.
Tindakan tersebut akan dilakukan dengan kerjasama Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA) dan Indah Water Konsortium Sdn Bhd dan pihak lain yang bertanggungjawab.