KUANTAN, 10 November - Pahang menjadi negeri pertama menambah kuota 2,000 calon bagi program MyLesen 2024 dengan melibatkan pembiayaan RM720,000.
Ia sebagai menyokong program tersebut yang yang memfokuskan kepada golongan B40 di negeri itu.
Program Mylesen Peringkat Negeri Pahang 2024 yang dilaksanakan Kerajaan Persekutuan menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) seramai 2,590 calon telah terpilih.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Datuk Ir Razali Kassim berkata, ini menjadikan jumlah keseluruhan calon di Pahang mengikuti program MyLesen 2024 ialah seramai 4,950 orang calon, yang dijangka selesai pada awal tahun hadapan.
"Untuk kuota 2,000 daripada kerajaan negeri Pahang kita sebenarnya untuk tahun ini, tetapi oleh kerana kita mahu selesaikan program daripada Mylesen 2024 daripada kerajaan persekutuan, jadi selesai itu kita sambung yang daripada kerajaan negeri, jadi oleh kerana mungkin sudah hujung tahun kita akan sambung awal tahun depan," kata Razali.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis Penutupan Program MyLesen Peringkat Negeri Pahang 2024, di sini.
Razali berkata, komitmen itu diberikan hasil sambutan menggalakkan rakyat di negeri itu, disamping memberikan peluang kepada golongan B40 meningkatkan sosioekonomi serta pendapatan melalui peluang pekerjaan.
Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Datuk Jazmanie Shafawi dan Pengarah JPJ Negeri Pahang Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman.
Menerusi Program Mylesen Peringkat Negeri Pahang 2024 , seramai 2,590 calon menerima lesen percuma dengan peruntukan sebanyak RM1.028 juta.
Daripada jumlah itu, 2,500 individu penerima lesen motosikal (B2), 40 penerima Lesen Kenderaan Perdagangan (GDL) lori, 30 penerima Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) bas dan 20 penerima Lesen PSV e-hailing.