fb fb fb fb fb

Pahang peruntuk RM160,000 bantuan kepada pemandu bot pelancong, malim gunung

Seramai 800 pemandu bot pelancong dan malim gunung di Pahang menerima peruntukan sebanyak RM160,000 menerusi Bantuan Prihatin Pahang (BPP).

KUANTAN, 14 Disember - Seramai 800 pemandu bot pelancong dan malim gunung di Pahang menerima peruntukan sebanyak RM160,000 menerusi Bantuan Prihatin Pahang (BPP).

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Leong Yu Man berkata kesemua mereka akan menerima bantuan sebanyak RM200 bagi membantu meringankan beban ekoran tidak dapat menjalankan aktiviti pada musim tengkujuh.

"Mereka juga antara penyumbang kepada sektor pelancongan Pahang dan menjalin kerjasama yang baik dengan kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Prihatin (BPP) Kluster Pemandu Bot Pelancong dan Malim Gunung tahun 2023, di sini.

Tambah Leong, kesemua 800 pemandu bot pelancong dan malim gunung di negeri itu juga kini telah dilindungi dengan perlindungan insurans secara berkelompok selama tiga tahun secara automatik.

Beliau berkata, kad perlindungan insurans berkelompok itu dilancarkan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebelum ini yang memberi manfaat RM100,000 untuk kematian dan hilang upaya kekal akibat kemalangan.

"Pembayaran balik pencarian dan pemindahan RM10,000, perbelanjaan perubatan akibat kemalangan RM2,500, pendapatan hospital akibat kemalangan maksimum 30 hari dalam setahun iaitu RM50 sehari dan pampasan kaunseling trauma maksimum 10 sesi iaitu RM100 per sesi dan perbelanjaan penghantaran pulang RM5,000," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN