fb fb fb fb fb

Pahang peruntuk lebih RM90 juta selesaikan isu bekalan air

Foto RTM

KUANTAN, 29 November-Kerajaan Negeri Pahang menerusi Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) telah memperuntukkan RM91.97 juta untuk meningkatkan perkhidmatan bekalan air di negeri itu.

Projek itu merupakan kesinambungan usaha Kerajaan negeri dalam menyelesaikan 90 peratus isu bekalan air menjelang akhir tahun 2026.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebanyak RM40 juta diperuntukkan bagi membina dan menyiapkan Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Puling di Kuantan; dan RM500,000 bagi membina dan menyiapkan LRA di Karak, Bentong.

Sebanyak RM45 juta untuk membina dan menyiapkan tangki imbangan di Kawasan Perindustrian Gebeng, dan RM570,000 bagi pembinaan tangki sedutan dan Rumah Pam di LRA Jelai, dan pemasangan paip di LRA Jelai ke tangki Bukit Bius.

"Menyediakan peruntukan RM3.5 juta bagi meneruskan projek bekalan air Nenasi, Pekan. Meneruskan projek bekalan air Raub dengan peruntukan RM600,000", katanya demikian ketika Pembentangan Belanjawan Negeri Pahang Tahun 2025 di Wisma Sri Pahang, di sini.

Selain itu katanya, Kerajaan Pahang akan meneruskan projek pembinaan paip agihan air dari Kemaman ke Gebeng berkapasiti 90 juta liter sehari di Kuantan dengan peruntukan RM1.8 juta.

Selain itu, kerajaan negeri juga turut memperuntukkan RM235,000 kepada Badan Kawal Selia Air bagi penyelenggaraan sistem pemantauan kualiti air atas talian bagi daerah Cameron Highlands, Raub, Lipis dan Jerantut.

 

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD