KUANTAN, 21 April- Kerajaan Negeri Pahang terus mempergiat usaha membasmi kemiskinan tegar melalui penambahbaikan pemantauan dan penyelarasan bantuan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Focus Group Kesejahteraan Rakyat.
Menurut Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Jawatankuasa itu berperanan mengenal pasti dan mengesahkan keluarga yang benar-benar tergolong dalam kategori miskin tegar, bagi memastikan bantuan yang disalurkan lebih berfokus dan tiada pertindihan.
“Melalui kerjasama bersama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), kerajaan negeri turut melaksanakan Program Perumahan Rakyat Sejahtera. Bantuan disalurkan sama ada dalam bentuk bina rumah baharu atau baik pulih, khusus buat keluarga miskin dan miskin tegar agar mereka memiliki kediaman yang lebih selamat dan selesa,” katanya.
Selain penyediaan tempat tinggal, pelbagai bentuk sokongan lain turut disalurkan, termasuk bantuan sara hidup dan kemahiran, bagi membantu keluarga ini keluar daripada kepompong kemiskinan secara mampan.
Setakat 18 April 2025, seramai 13,483 Ketua Isi Rumah (KIR) di Pahang dikenal pasti sebagai miskin, manakala 40 KIR dikategorikan sebagai miskin tegar, melibatkan 36 keluarga Melayu, satu keluarga Cina dan tiga keluarga India.
“Kita akan pastikan tiada yang tercicir. Mereka yang benar-benar memerlukan akan dibantu, bukan sahaja dari segi kebajikan tetapi juga ke arah meningkatkan daya saing hidup mereka,” tambah beliau.