fb fb fb fb fb

Pahang pandang serius isu berkaitan GISBH

Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

TEMERLOH, 27 September- Kerajaan Pahang memandang serius isu GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) yang turut beroperasi di negeri itu sekali gus memantau isu berkenaan dari semasa ke semasa.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mahu kerajaan negeri memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis agar isu itu dapat ditangani dengan segera.

Beliau berkata,  kerajaan negeri Pahang menyerahkan kepada pihak polis bagi melakukan siasatan dan menyelesaikan isu tersebut.

"Sekarang ini dalam siasatan pihak polis, sudah tentu kita mengambil berat berkenaan perkara ini. Ianya merupakan isu semasa dan sering menjadi perbualan orang ramai.

"Kita memantau berkenaan hal ini, sekiranya kita mendapat maklumat kita akan terus laporkan kepada pihak polis. Perkara ini merupakan sesuatu yang serius dan kita akan beri kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Suratan Hakmilik Tanah bagi Skim Tanah Rakyat (STR) Daerah Temerloh di Dewan Dato' Zaharudin Abu Kassim di Kuala Krau di sini.

Isu GISBH menjadi perhatian selepas pendedahan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mengenai Op Global yang menahan 171 individu dalam operasi di 18 buah premis pada 11 September lalu.

Susulan itu operasi secara berterusan di seluruh negara termasuk di Pahang, lima kanak-kanak diselamatkan dalam satu operasi di Temerloh.

Selain itu juga operasi turut dilakukan di Beserah, Kuantan menyaksikan rampasan kuda dan pelbagai peralatan milik GISBH.  

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI