KUANTAN, 2 Februari-Enam memorandum persefahaman (MoU) telah dimeterai dalam Lawatan Teknikal Penandaarasan Sektor Pertanian, Penternakan dan Perikanan Pahang yang diketuai Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail ke Australia, bermula 28 Januari lalu.
Delegasi yang turut disertai EXCO Pertanian Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri, Datuk Sri Insenior Mohd Soffi Abdul Razak itu, telah mengadakan pelbagai pertemuan dan lawatan bagi memperkukuh sektor keterjaminan makanan negeri Pahang.
Datuk Seri Wan Rosdy menerusi satu kenyataan berkata, lawatan diadakan sebagai langkah strategik dalam memastikan Pahang terus mengorak langkah sebagai peneraju dalam sektor pertanian, penternakan dan perikanan utama di negara ini.
Menerusi pemindahan teknologi dan kerjasama yang terjalin katanya, kerajaan negeri yakin usaha ini akan memberi manfaat kepada rakyat, meningkatkan keterjaminan makanan, serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak-anak Pahang.
Sepanjang lawatan yang dijadual berakhir Selasa ini, Datuk Seri Wan Rosdy berkata, delegasi kerajaan negeri telah mengadakan beberapa sesi lawatan teknikal ke lokasi strategik.
Antaranya, Mainstream Aquaculture, Werribee Victoria; Goulburn Valley Creamery dan ladang lembu Greater Shepparton; Rumah Penyembelihan Ternakan JBS, ladang Fidlot Ulupna Pastoral; serta ladang ternakan lembu dan bebiri di Cobram yang diusahakan oleh anak jati Temerloh, Pahang; Mohd Zaki Mat Lias.
Malah, delegasi Kerajaan Pahang turut menyantuni komuniti Islam Cobram bagi mengeratkan hubungan, serta memperteguh syiar Islam di luar negara.