fb fb fb fb fb

Pahang luluskan 18 kawasan dalam wilayah FELDA sebagai STR

Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengendalikan jengkaut sebagai simbolik selepas Majlis Pecah Tanah Skim Tanah Rakyat Felda di Dewan Semai Bakti Felda Jengka 14, di Maran

MARAN, 12 Mac- Kerajaan Pahang meluluskan sebanyak 18 kawasan dalam wilayah Felda sebagai Skim Tanah Rakyat (STR) untuk generasi baharu tanah rancangan itu membabitkan tiga wilayah di negeri berkenaan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata,18 kawasan itu membabitkan 10 lokasi dalam Wilayah Mempaga di Bentong dan masing-masing empat dalam Wilayah Jengka serta Wilayah Kuantan.

Menurutnya, melalui skim itu, generasi baharu Felda akan berpeluang untuk membina rumah kediaman mereka di atas tanah yang diberi hak milik.

“Saya berharap pelaksanaan STR ini akan memberi kesejahteraan kepada generasi baharu Felda yang sekian lama menginginkan kediaman sendiri yang selesa serta kemudahan infrastruktur yang mencukupi bagi menjalani kehidupan bersama keluarga.

“Kerajaan negeri juga akan sentiasa memantau perkembangan projek ini bagi memastikan ia berjalan dengan lancar, berjaya dan tidak mahu projek ini menjadi projek gajah putih dan terbengkalai,”katanya.
 
Jelasnya, kerajaan negeri Pahang menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) pada 20 September 2023 telah bersetuju untuk mengisytiharkan 18 kawasan dalam STR untuk generasi baharu Felda.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pecah Tanah Skim Tanah Rakyat Felda di Dewan Semai Bakti Felda Jengka 14, di Maran semalam.

Dalam pada itu, tambah beliau, usaha itu menunjukkan komitmen kerajaan negeri dan Felda yang tidak berbelah bahagi dalam menyelesaikan isu keperluan perumahan yang mendesak dalam kawasan rancangan Felda seterusnya menyediakan kediaman yang selesa dan berkualiti kepada generasi baharu.

Malah, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM200 juta  bagi menyiapkan Projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) yang terbengkalai di negeri berkenaan.

Katanya, kerajaan negeri juga telah menyampaikan suratan hak milik kepada kira-kira 41,000 daripada 43,126 orang peneroka Flda di negeri itu iaitu lebih kurang 96 peratus.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE