fb fb fb fb fb

Pahang dalam proses ambil alih projek pemanjangan landasan lapangan terbang Tioman

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff

KUANTAN, 6 Disember - Kerajaan Pahang kini dalam proses pengambilalihan tanah bagi projek pemanjangan landasan lapangan terbang Pulau Tioman daripada 850 meter kepada 1,300 meter.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata kerajaan negeri melalui Pejabat Daerah dan Tanah Rompin telah mendapatkan nilaian tanah daripada Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta bagi lot-lot yang terlibat.

Menurutnya, kerajaan negeri sedang dalam proses pelaksanaan cadangan alternatif menaik taraf Lapangan Terbang Pulau Tioman dengan pemanjangan landasan sedia ada untuk membolehkan pendaratan pesawat jenis ATR42-600 dan pesawat jenis ATR72-600.

"Dan ini bagi meningkatkan keupayaan operasi untuk meningkatkan lagi kemasukan pelabur, peniaga dan pelancong ke Pulau Tioman. Buat masa ini status terkini melalui pihak perancang ekonomi negeri, kerajaan negeri dalam proses pengambilalihan tanah bawah seksyen 3(1)(a) akta pengambilalihan tanah 1960,"kata Fakhruddin, ketika menjawab pertanyaan ADUN Tioman, Datuk Seri Mohd Johari Hussain pada Mesyuarat ke-3 Penggal ke-2 Dewan Negeri Pahang ke-15, di Wisma Sri Pahang, di sini.

Kerajaan Persekutuan melalui Belanjawan Tahun 2024, telah meluluskan peruntukan sebanyak RM47 juta untuk menaik taraf lapangan terbang sedia ada.

Projek Menaik Taraf Jeti Kargo Kampung Tekek, Pulau Tioman sebelum ini telah diluluskan dalam Rolling Plan 4, Rancangan Malaysia Ke-12 dengan kos RM4 juta.

Sementara itu, Mohd Johari menerusi soalan tambahan turut bertanyakan mengenai kesediaan lapangan terbang tersebut untuk menerima pesawat persendirian dan antarabangsa, tanpa transit.

Beliau berkata, kajian sedang dijalankan oleh pihak perunding yang dilantik Kementerian Pengangkutan Malaysia bagi menentukan jarak pemanjangan, jenis kapal yang boleh digunakan dan syarikat penerbangan yang bersedia menjalankan perkhidmatan.

Perunding juga katanya, sedang menyediakan kos pemanjangan, pengambilan balik tanah dan pengoperasian lapangan sedia ada tersebut.

TETITIA YUSOFF