fb fb fb fb fb

Pintu pagar balai polis tutup selepas pukul 10 malam

Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR, 9 Julai- Kesemua pintu pagar balai polis di seluruh negara akan ditutup selepas pukul 10.00 malam sebagai langkah memperketatkan keselamatan agar insiden seperti di Balai Polis Ulu Tiram, Johor pada Mei lalu tidak berulang.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu diambil bagi mengimbangi keperluan untuk masyarakat serta menjaga keselamatan anggota yang bertugas.

"Kita perlu imbangi (langkah-langkah keselamatan) kerana balai polis adalah tempat rakyat mengadu tetapi pada masa sama, balai polis juga menjadi sasaran, jadi kita imbangkan antara dua keperluan itu.

"Insiden di Ulu Tiram, saat itu ada dua orang yang berurusan dengan anggota polis (di dalam balai) dan ketika itu serangan berlaku," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan asal Datuk Seri Richard Riot (GPS-Serian) yang bertanyakan langkah-langkah memperketatkan keselamatan di balai polis di Malaysia, ekoran insiden 17 Mei lepas itu yang menyaksikan Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, meninggal dunia selepas diserang seorang lelaki bertopeng bersenjatakan parang.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, polis akan terus mengambil langkah sewajarnya bagi membendung penyebaran fahaman ekstremisme di negara ini.

Tegasnya, fahaman ekstremisme perlu dibendung dan perbuatan 'mengkafirkan' golongan lain sangat membahayakan bagi masyarakat dalam negara.

"Insiden ini (serangan Balai Polis Ulu Tiram) sudah tentu jika ditanya sama ada polis mempunyai keupayaan untuk mengurus...tentunya. Polis 216 tahun umurnya, mempunyai pengalaman yang luas.

"Jadi berdasarkan kepada insiden seperti ini, maka polis kita bangunkan profil lengkap bagaimana kita nak mengurangkan elemen-elemen seperti ini supaya ia tidak berkembang subur," katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) yang mahu tahu usaha kerajaan menangkis ancaman bentuk baharu keganasan yang wujud dalam kalangan kumpulan pengganas di Malaysia

SITI AISHAH MD ISA