fb fb fb fb fb

Pendaftaran PADU warga Kementerian Komunikasi capai sasaran

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil/BERNAMA

PETALING JAYA, 18 Februari- Pendaftaran Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) dalam kalangan warga Kementerian Komunikasi kini hampir mencapai sasaran 100 peratus.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Justeru, beliau mengesa agar warga kementerianya mendaftar sistem PADU bagi memastikan sasaran itu dapat dicapai menjelang Mac depan.

"Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi telah memaklumkan bahawa kita telah mencapai bagi Kementerian Komunikasi setakat Rabu lalu. Secara keseluruhan, 99.3 peratus daripada warga Kementerian Komunikasi telah mendaftar.

"Jadi terima kasih kepada BERNAMA, warga Penyiaran yang telah bersama dalam ikhtiar ini", katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina di Taman Sri Sentosa, Petaling Jaya.

Lebih 1,000 orang hadir memeriahkan majlis rumah terbuka tersebut yang diserikan dengan tarian singa, persembahan gendang serta tarian tradisional masyarakat cina.

Pada masa sama, turut dibuka, kaunter PADU bagi memberi peluang orang ramai mendaftar.

Setakat ini, lebih 30 juta rakyat telah mendaftar sistem PADU.

Sementara itu, mengenai Skim Perlindungan Seniman pula, Fahmi berkata, ketika ini kementeriannya sedang berusaha menambah baik skim perlindungan tersebut.

Untuk itu, satu perbincangan bersama akan diadakan esok (Isnin) antara kementeriannya dan Kementerian Sumber Manusia bagi meneliti beberapa mekanisme termasuk melibatkan Pencen Ilat dan Pencen Penakat bagi golongan terbabit.

"Saya lihat ada beberapa mekanisme yang boleh kita rangka, tapi selain daripada kesedaran, saya lihat ada keperluan untuk kita teliti, sekiranya skim di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) boleh dikembangkan untuk memberi peluang pencarum yang bekerja sendiri ini mendapat manfaat Pencen Ilat dan Pencen Penakat.

"Saya harap dalam masa yang tidak terlalu lama, kita ada berita gembira sama ada untuk para seniman, warga media dan p-hailing, harapan saya", katanya.

ROSLINA BINTI DIN