fb fb fb fb fb

PAC putuskan panggil LTAT berhubung dakwaan rizab negatif

Datuk Mas Ermieyati Samsudin

KUALA LUMPUR, 7 Mac- Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) membuat keputusan untuk memanggil Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) berikutan terdapat masalah dalam Penyata Kewangan Tahun 2022.

Perkara itu berhubung pendedahan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) berkenaan rizab kewangan agensi itu yang negatif di Dewan Rakyat semalam.

Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin dalam satu kenyataan berkata, PAC bimbang kedudukan kewangan LTAT selepas pendedahan itu sekali gus menimbulkan persoalan kemampuannya membayar dividen kepada pencarum.

"Jawatankuasa ini juga tidak menolak untuk memanggil Menteri Pertahanan selaku menteri yang bertanggungjawab terhadap LTAT memandangkan isu ini amat kritikal membabitkan 122,935 pencarum sehingga 13 Mac 2023 yang terdiri daripada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Prosiding LTAT ini akan diadakan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri dan PAC akan memanggil semua pihak yang berkaitan LTAT termasuk tiga pengurusan tertinggi LTAT yang meletakkan jawatan iaitu bekas Pengerusi LTAT, bekas Ketua Pegawai Eksekutif LTAT dan bekas Pengarah Kanan Strategik LTAT," katanya dalam satu sidang media di Parlimen.

Sementara itu, dua lagi agensi iaitu Felda dan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), PAC akan membuat keputusan selepas prosiding LTAT.

PAC juga menjelaskan jawatankuasa itu juga akan membentangkan enam lagi laporan termasuk UiTM Holdings Sdn. Bhd, Program Ramalan dan Amaran Banjir serta Pengurusan Naik Taraf dan Pembangunan Semula Bangunan Daif di Sekolah.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI