fb fb fb fb fb

PAC mohon pindaan Akta Audit 1957

Pengerusi PAC Parlimen, Datuk Mas Ermieyati Samsudin

KUALA LUMPUR, 2 Oktober- Jawatankuasa PAC memohon supaya pindaan terhadap Akta Audit 1957 dapat dilaksanakan.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata ini bagi membolehkan pihak Jabatan Audit Negara (JAN) melaksanakan audit secara terus ke atas mana-mana kementerian, agensi, jabatan serta pihak yang menerima dana kerajaan sekiranya diperlukan. 

Buat masa ini, PAC tidak mempunyai kuasa untuk meminta JAN berbuat demikian berikutan peraturan yang termaktub dalam akta berkenaan. 

"Ini adalah kekangan kepada PAC kerana jika PAC mahu JAN melaksanakan pengauditan kepada mana-mana kementerian/agensi/jabatan serta pihak yang menerima dana kerajaan terutama jika isu berkenaan tidak dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN), maka PAC perlu memohon kepada Ketua Audit Negara dan Kementerian Kewangan serta Jabatan Perdana Menteri dan tertakluk pada budi bicara pihak-pihak ini untuk membenarkan JAN melaksanakan pengauditan bagi pihak PAC", katanya dalam sidang media di Parlimen.

Selaras dengan kuasa yang diberikan kepada PAC, ia memfokuskan kepada isu dalam pentadbiran kerajaan yang dikenal pasti mempunyai unsur 3P 1K iaitu Pembaziran, Penyelewengan dan Penyalahgunaan kuasa serta Ketirisan. 

Dalam aspek itu, kerjasama erat PAC dan JAN sejak dahulu lagi menjadi tunjang utama untuk memastikan akauntabiliti sektor awam sentiasa menjadi agenda utama. Manakala bagi PAC pula, dapat menjalankan fungsi pengawasan (oversight) bagi cabang perundangan iaitu Parlimen dilaksanakan.  

ROSLINA BINTI DIN