fb fb fb fb fb

P.Pinang bakal laksana projek lif bermotor buat pengunjung kuil

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menerima surat niat pembinaan lif untuk penganut warga emas dan kurang upaya di Kuil Balathandayuthapani Hilltop/Foto Lingesh RA

GEORGE TOWN, 11 Februari – Sebuah projek mobiliti akan dilaksanakan bagi membangunkan sistem lif bermotor atau people mover system untuk kemudahan pengunjung Kuil Thanneermalai Sree Balathandayuthapani Devasthanam semasa perayaan Thaipusam di negeri ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata projek ini bertujuan meningkatkan keupayaan beribadah, khususnya bagi mereka yang menghadapi kesukaran mendaki kuil yang terletak lebih 100 meter di atas bukit.

"Kami akan melaksanakan satu projek mobiliti, namun bentuknya akan ditentukan selepas kajian kebolehlaksanaan. Kajian ini akan menentukan sama ada sistem lif, eskalator atau teknologi lain yang lebih sesuai," katanya.

Tambah beliau, syarikat yang dilantik akan menjalankan kajian kebolehlaksanaan bagi mengenal pasti jenis sistem pengangkutan yang sesuai di lokasi. Kajian ini dijangka mengambil masa enam bulan, manakala pembinaannya dijadual siap dalam tempoh 24 bulan.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke kuil berkenaan sempena sambutan Thaipusam.

GRACE AISYAH KEDAYAN