fb fb fb fb fb

Ops Selamat TBC: 857 kes kemalangan direkodkan di Johor

Ketua Polis Johor, Komisioner Polis M. Kumar/BERNAMA

JOHOR BAHRU, 13 Februari- Sebanyak 857 insiden kemalangan direkodkan sepanjang empat hari Ops Selamat 21 sempena Tahun Baharu Cina di Johor. 

Jumlah berkenaan melibatkan lapan kes kemalangan maut, dengan lapan kematian dicatatkan. 

Ketua Polis Johor, Komisioner Polis M. Kumar berkata angka itu berkurangan berbanding 1,039 kemalangan, bagi tempoh sama, tahun lalu. 

Sebanyak 20,664 saman dikeluarkan polis kontinjen Johor dalam operasi berkenaan.

"Kita juga telah melancarkan operasi dan telah melaksanakan beberapa tangkapan. Jumlah tangkapan adalah seramai 21 orang melibatkan pelbagai kesalahan."

"Kesemua tangkapan ini adalah berumur daripada 18 hingga 53 tahun," kata M. Kumar kepada pemberita dalam operasi berkenaan pada Isnin.

Tangkapan yang dibuat, melibatkan kes mabuk, samseng jalanan, ulat parking haram serta memandu dibawah pengaruh dadah.

Keberadaan PDRM sepanjang Ops Selamat kali ini turut melegakan orang awam terutama yang bertugas pada waktu malam.

"Operasi PDRM ini, buat kita rasa selamat. Jadi, kita nak bekerja pun senang. Lebih baik jika ia dilaksanakan hari-hari, kita masyarakat rasa selamat lagi-lagi, di kawasan stesen minyak ini," kata Ruhana Sidek, petugas stesen minyak.

"Saya berterima kasih kerana pihak polis kerana banyak membantu menjaga keselamatan terutama di stesen minyak dan juga kawasan tumpuan orang ramai. Saya amat berpuas hati dengan perkhidmatan pihak polis," kata Abdul Halim Abdullah, pengusaha stesen minyak.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM