fb fb fb fb fb

Ops PeWA: JPJ Terengganu tahan 270 warga asing

FOTO BERNAMA

KEMAMAN, 28 Jun - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu berjaya menahan 270 warga asing yang melakukan pelbagai kesalahan dalam 10 siri Ops Pemandu Warga Asing (PeWA) di seluruh negeri bermula Januari hingga Mei lalu.

Sebanyak 994 notis saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan dalam ops itu.
 
Pengarahnya Mohd Zamri Samion berkata, antara yang ditahan ialah warga Myanmar, Rohingya, Bangladesh, Pakistan, Indonesia, India, Kemboja dan Thailand.
 
Beliau berkata, pihaknya turut menyita 235 kenderaan seperti kereta, lori dan motosikal yang dipercayai telah dibeli atau disewa daripada sindiket atau penduduk tempatan.
 
Menurut Mohd Zamri, antara kesalahan dilakukan ialah Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada lesen memandu sah (CDL), tiada perlindungan insurans dan kesalahan teknikal.
 
"Yang mana dia melibatkan sitaan 88 kenderaan, 323 saman dan kesalahan yang dilakukan antaranya tiada CDL 176, tidak memiliki cukai jalan 60 dan tiada perlindungan insurans sebanyak 60. Jadi dalam tempoh ini kesemua kes-kes ini kebanyakannya melibatkan warga-warga asing iaitu Myanmar, Bangladesh dan juga Pakistan Indonesia.

"Jadi mereka ini dilihat dan semakin kritikal dan semakin berani untuk melanggar kesalahan-kesalahan ini. Jadi dalam konteks ini kita menjalankan ops ini untuk memastikan kawalan terhadap kesan domino dan keselamatan pengguna jalan raya itu kita dapat kawal," kata Mohd Zamri.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Ops Pewa 2024 di Perkarangan Pejabat JPJ Chukai, di sini.
 
Mohd Zamri berkata, tahun lalu pihaknya telah menjalankan 21 siri Ops PeWA melibatkan 738 saman dan 183 tangkapan.
 
Pihaknya melancarkan ops berkenaan di daerah Kemaman selepas menerima aduan masyarakat setempat yang bimbang dengan peningkatan warga asing menggunakan kenderaan tanpa dokumen sah.
 
Seramai 88 warga asing ditahan dalam operasi bersepadu terbabit yang melibatkan 76 anggota penguatkuasa termasuk JPJ, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen.
 
"Kami terpaksa melakukan penyamaran bagi memudahkan mereka mengesan warga asing terbabit.
 
"JPJ bimbang dengan kehadiran warga asing memandu tanpa dokumen yang sah serta boleh memberi kesan domino dan membahayakan pengguna jalan raya yang lain," katanya lagi.

TETITIA YUSOFF