fb fb fb fb fb

Ops perayaan, JPJ gantung lesen 14 pemandu bas ekspres positif dadah

Foto Ihsan JPJ

KUANTAN, 21 Februari- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bertindak menggantung lesen 14 pemandu bas ekspres yang didapati positif dadah dalam Operasi Tahun Baru Cina dan Operasi Bulan Perayaan, yang dijalankan sejak 1 Februari lalu, di seluruh negara.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata kesemua mereka disahkan mengambil dadah jenis syabu, methamphetamine dan ganja, melalui ujian urin yang dijalankan.

Menurutnya, lesen memandu mereka kini digantung mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) bagi mengelak inidividu terbabit memandu kenderaan perkhidmatan awam.

Kesemua mereka dikesan hasil pemeriksaan berterusan yang dilakukan di terminal-terminal bas, seluruh negara.

"Pemandu bas yang guna bahan terlarang ini, mungkin kerana mereka mahu mendapat lebihan penghantaran. Bagaimanapun, ini bukan satu cara yang baik bagi pemandu bas untuk menyegarkan diri mereka, kerana ia ada kesan sampingan daripada penggunaan-penggunaan bahan terlarang," kata Datuk Lokman ketika ditemui media pada Ops Motosikal, Kenderaan Berat, Kenderaan Perkhidmatan Awam dan Barangan, serta Kenderaan Awam di Gambang, di sini.

Operasi khas itu akan diteruskan sehingga 29 Februari ini yang turut melibatkan pihak polis, Agensi Antidadah Kebangsaan dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Dalam tempoh 21 hari operasi dijalankan, sebanyak 21,705 kenderaan perkhidmatan awam diperiksa dan daripada jumlah itu, 1,181 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Selain kesalahan penggunaan bahan terlarang, 91 kes tiada lesen memandu dikesan dan 266 kenderaan diberi notis bagi kesalahan teknikal malah 32 kenderaan perkhidmatan awam turut disita.

Beliau dalam pada itu turut menyeru pengusaha perkhidmatan awam agar mematuhi peraturan ditetapkan bagi menjamin keselamatan penumpang-penumpang dan pengguna jalan raya yang lain.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM