fb fb fb fb fb

Ops Mulia: 164 individu ditahan, al-Quran dan bahan ayat suci berjumlah RM3.1 juta dirampas

164 individu ditahan manakala 26,213 naskhah al-Quran serta bahan bacaan ayat suci al-Quran bernilai RM3.1 juta, dirampas menerusi Ops Mulia yang dijalankan Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan Kementerian Dalam Negeri (PK KDN) di seluruh negara sepanjang Mac lepas

PUTRAJAYA, 3 April - 164 individu ditahan manakala 26,213 naskhah al-Quran serta bahan bacaan ayat suci al-Quran bernilai RM3.1 juta, dirampas menerusi Ops Mulia yang dijalankan Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan, Kementerian Dalam Negeri (PK KDN) di seluruh negara sepanjang Mac lepas.

Setiausaha Bahagian PK KDN, Nik Yusaimi Yussof berkata kesemua yang ditahan merupakan warga tempatan berusia 30 hingga 50 kerana melanggar Akta Percetakan Teks al-Quran 1986 (Pindaan 2023).

Beliau berkata, dalam operasi tersebut sebanyak 1,082 premis telah diperiksa.

"Dia ialah penjual, hendak mengedar, hendak membungkus, hendak menjilid seperti menjilid al-Quran. Macam contoh dia tidak ada pun lesen yang membolehkan dia menjilid, itu juga satu kesalahan di bawah akta, pelbagai pihak, pelbagai aktiviti bukan terhadap penjual sahaja pelbagai pihak yang terlibat pada kali ini," katanya pada sidang media, di sini.

Tambah Nik Yusaimi, sebuah syarikat percetakan di Seri Kembangan, Selangor turut dikesan melakukan kerja-kerja menjilid al-Quran tanpa kebenaran, selain membenarkan ia dilakukan oleh bukan Islam.

"Tindakan sedang diambil terhadap syarikat berkenaan dan siasatan masih dijalankan. KDN komited untuk memastikan hanya teks al-Quran yang sahih dalam pelbagai bentuk berada dalam komuniti," katanya.

Sehingga kini, terdapat 965 jenis terbitan al-Quran yang diuluskan KDN sama ada untuk dijual, dimiliki ataupun diedar.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN