BUTTERWORTH, 13 Julai- Sebanyak 250 motosikal diperiksa dalam Operasi Khas Bersepadu Samseng Jalanan di Lingkaran Luar Butterworth (BORR) berdekatan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bagan Ajam.
Pelbagai kesalahan dikesan dalam operasi tersebut seperti lesen memandu tamat tempoh, tiada cukai jalan dan perlindungan insuran serta gagal ujian saringan air kencing.
Operasi bersepadu itu melibatkan pelbagai agensi seperti Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Pulau Pinang dengan kerjasama JSPT Bukit Aman, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Polis Bantuan Plus Berhad.
Operasi bermula pada pukul 1.30 pagi hingga pukul 10.00 pagi di Lingkaran Luar Butterworth (BORR).
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad dalam satu kenyataan berkata operasi berkenaan diadakan untuk memastikan para pengguna jalan raya sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi mengurangkan risiko kemalangan.
Tambahnya, pihak JAS turut mengeluarkan dua notis serta dua kompaun dibawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974.
Sementara itu, AADK turut menahan sembilan individu yang positif ujian saringan air kencing manakala pihak JPJ mengeluarkan 245 notis pemeriksaan kenderaan bawah Seksyen 61 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan menyita 20 buah motosikal.
Pihak polis menasihatkan pengguna jalan raya supaya menjadi pengguna yang bertanggungjawab dan mematuhi peraturan serta undang-undang.