fb fb fb fb fb

'Ops Khas' di kawasan kritikal banjir, rakyat Johor diminta peka arahan pihak berkuasa

Datuk Onn Hafiz menghadiri mesyuarat di Bilik Gerakan Bencana Banjir
negeri Johor/FOTO FB Onn Hafiz Ghazi)

JOHOR BAHRU, 4 Mac- 'Ops Khas' di kawasan kritikal banjir di Johor akan diteruskan bagi membantu penduduk terjejas banjir.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menerusi hantaran Facebook berkata, kerajaan negeri itu terus bersiap siaga terutama daripada segi agar persiapan dan penyelarasan sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.

Katanya, langkah berkenaan diambil berikutan sudah menerima laporan awal daripada Jabatan Meteorologi Malaysia(MetMalaysia) mengenai kemungkinan gelombang baharu susulan amaran hujan lebat tahap bahaya di beberapa daerah.

Beliau juga mengingatkan seluruh rakyat Johor untuk sentiasa peka dengan sebarang arahan pihak berkuasa dan terus menjaga keselamatan diri serta keluarga.

"Saya mohon semua dapat kongsikan hantaran ini agar maklumat tersebar kepada seluruh warga Johor.

"Amaran hujan di tahap bahaya di daerah Segamat, Kluang, dan Mersing. Manakala cuaca buruk di Muar, Tangkak, Batu Pahat, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru," katanya.

Terdahulu beliau hadir mesyuarat koordinasi gerak kerja bersama-sama pegawai-pegawai daerah dan agensi-agensi Bilik Gerakan Bencana Banjir
Negeri Johor.

Pada mesyuarat berkenaan, permasalahan dan penyelesaian berkaitan banjir turut diputuskan.


(Datuk Onn Hafiz ketika lawatan ke PPS Sekolah Agama Bandar Tangkak dan PPS SJK(C) Layang,
Simpang Renggam/FB Onn Hafiz Ghazi)

Sementara itu, dalam satu lagi hantarannya di Facebook, beliau menitipkan semangat untuk semua rakyat di negeri itu yang terkesan banjir.

"Maka bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, Surah Al-Insyirah (Ayat 5).

"Insya-Allah, warga Johor terus sabar, cekal dan tabah menghadapi dugaan ini. Kita harunginya bersama sebagai satu keluarga.

"Itulah semangat yang ada semasa lawatan ke PPS Sekolah Agama Bandar Tangkak dan PPS SJK(C) Layang, Simpang Renggam. Muafakat itu berkat. Stay strong Bangsa Johor! Allah Peliharakan Sultan Allah Berkati Johor," katanya.

Media Baharu