(Foto BERNAMA)
KUALA NERUS, 28 April- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu mengeluarkan 1,234 saman atas pelbagai kesalahan sepanjang tempoh Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2023.
Pengarahnya, Zulkarnain Yasin berkata saman tersebut dikeluarkan selepas pemeriksaan dijalankan ke atas 5,606 kenderaan sejak operasi itu bermula 18 April lalu.
Katanya, pada musim perayaan ini juga pihaknya turut mengesan tindakan segelintir pengguna yang menggunakan nombor plat 'fancy' pada kenderaan mereka.
"Masing-masing cuba bergaya dengan nombor 'fancy' dan cermin gelap. Setakat ini, mereka yang dikesan akan dikenakan tindakan. Selain daripada saman, kita juga akan memberikan notis untuk arahan pemeriksaan kenderaan. Untuk kompaun RM300 maksimum dan jika kes dibawa ke mahkamah maksimum RM2,000," katanya kepada pemberita di sini.
Beliau berkata menerusi operasi itu juga Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh mencatatkan kesalahan paling tinggi direkodkan dengan 323 kes.
Ia diikuti dengan kesalahan tiada lesen memandu kompeten (CDL) dengan 313 kes, tiada perlindungan insurans 281 kes dan 108 kes melibatkan kesalahan nombor pendaftaran.
Sebanyak 18 buah motosikal dan dua buah kereta juga telah disita sepanjang operasi itu.
(Foto BERNAMA)