SELAMA, 30 September- Satu mayat bersama sebuah motosikal ditemui di dalam parit di tepi jalan Kampung Tanjung Lengkong, Rantau Panjang, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Selama, Penguasa Polis (SP) Sarudin Samah berkata, maklumat mengenai kejadian diterima Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selama daripada orang awam pada pukul 11.45 pagi.
Jelasnya, mayat itu dijumpai seorang operator jengkaut yang sedang menjalankan kerja-kerja pembersihan di bahu jalan di kawasan berkenaan.
Saksi kemudian ternampak motosikal berada di dalam parit sebelum pemeriksaan lanjut menemukan mayat dalam keadaan reput berhampiran motosikal berkenaan.
Semakan rekod pendaftaran mendapati motosikal itu digunakan seorang warga emas yang dilaporkan hilang pada 8 September lalu.
Sarudin berkata, pihaknya masih menunggu keputusan bedah siasat yang akan dijalankan di Unit Forensik Hospital Selama esok bagi mengesahkan identiti mayat tersebut.