fb fb fb fb fb

Operasi Unit Perdagangan JPJ KL dipindahkan sementara

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 8 Mei- Operasi Unit Perdagangan, Bahagian Pelesenan Kenderaan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Wangsa Maju dipindahkan sementara susulan kejadian limpahan air di pejabat berkenaan akibat hujan lebat semalam.

JPJ dalam kenyataan berkata, pengoperasian Unit Perdagangan (Pintu 4) dipindahkan ke Pintu 5 dan Pintu 2 buat sementara waktu bagi memastikan operasi unit tersebut tidak terjejas.

"Kami memohon maaf atas kesulitan yang berlaku dan akan sentiasa berusaha dan komited memastikan infrastruktur pejabat JPJ berada pada tahap terbaik," katanya.

Dalam kejadian pukul 2.10 petang semalam, berlaku limpahan air akibat kebocoran siling bangunan di pejabat berkenaan dan kejadian tersebut tular di media sosial.

Susulan kejadian itu, JPJ bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Lumpur bagi mengenal pasti punca kejadian dan melaksanakan kerja-kerja pembaikan dengan kadar segera demi keselamatan serta keselesaan pelanggan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI