fb fb fb fb fb

Operasi SAR tanah jerlus dihentikan, masuk fasa pemulihan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 31 Ogos - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan wanita warga India yang hilang dalam insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India dihentikan dan kini memasuki fasa pemulihan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan pakar dan keputusan Kabinet. 

“Kita akan masuk ke fasa 'Search and Recovery'. Kita mendapatkan pandangan dari sudut pakar sebelum mengambil apa-apa keputusan setelah kita kumpulkan semua kepakaran termasuk pihak PDRM (Polis Diraja Malaysia), pihak (Jabatan) Bomba (dan Penyelamat Malaysia), DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur), IWK (Indah Water Konsortium), rakan geologi kita dan agensi-agensi lain, kita ambil keputusan untuk menghentikan SAR hari ini,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian, di sini.

Dalam pada itu, Dr. Zaliha turut memaklumkan, pihaknya dengan kerjasama Suruhanjaya Tinggi India telah memaklumkan kepada keluarga mangsa mengenai penamatan operasi itu dan waris memahami keputusan tersebut.

Mengenai visa keluarga mangsa pula, Dr. Zaliha berkata, pelanjutan akan dibuat sekiranya perlu.

“Setakat ini, visa diperuntukkan selama sebulan. Jika perlu tambahan, kita akan bantu,” tambah Dr. Zaliha.

Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) insiden mendapan tanah di loji kumbahan IWK Pantai Dalam turut dihentikan, susulan pengumuman Dr. Zaliha berhubung pencarian di Jalan Masjid India.

Sepanjang operasi pencarian, pasukan SAR telah menumpukan kepada kerja-kerja 'flushing' dan pemeriksaan fizikal di setiap ruang loji untuk mendapatkan petunjuk baharu.

Operasi hari ini bermula seawal pukul 9 pagi dengan melibatkan hampir 20 anggota dari pasukan Bomba, PDRM, dan kakitangan IWK.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN