fb fb fb fb fb

Operasi SAR nelayan Thailand jatuh laut ditamatkan

FOTO MARITIM MALAYSIA

PASIR PUTEH, 12 Disember- Susulan nelayan warga Thailand yang dikhuatiri jatuh laut di perairan Tok Bali, Pasir Puteh Kelantan, Rabu lepas.

Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Kuantan menamatkan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) setelah tiada petunjuk baharu ditemui.

Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata, keputusan untuk menamatkan operasi dibuat setelah tiada sebarang penemuan dan petunjuk baharu sepanjang tiga hari operasi dijalankan.

Jarak masa lama sebelum wakil bot melaporkan insiden kepada pihak berkuasa iaitu selepas dua hari mangsa didapati hilang secara langsung memberikan harapan tipis untuk operasi SAR itu berjaya.

Berikutan itu orang ramai diingatkan supaya melaporkan sebarang insiden di laut secepat mungkin bagi membolehkan tindakan segera daripada pihak berkuasa dalam usaha untuk menyelamatkan mangsa.

Beliau dalam kenyataan media berkata, pencarian sepanjang tiga hari itu melibatkan jumlah keluasan kawasan 118.12 batu nautika persegi dan tiga aset laut Maritim Malaysia digerakkan iaitu Bot Maritim Perkasa 1247 dan 1233 serta Kilat 17.

Media sebelum ini melaporkan, seorang kru bot nelayan tempatan dikenali sebagai Mr. Bhuntin, 45, warganegara Thailand dilaporkan hilang disyaki jatuh laut ketika sedang menangkap ikan di perairan Tok Bali kira-kira 13 batu nautika dari Pulau Perhentian pada 6 Disember lalu.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE