fb fb fb fb fb

Operasi padam kebakaran tiga gudang di Bukit Selambau ditamatkan selepas 80 jam

FOTO JBPM KEDAH

SUNGAI PETANI, 7 Disember- Operasi memadam  kebakaran tiga premis kilang memproses barangan kitar semula di Bukit Selambau Sungai Petani, Kedah Ahad lalu ditamatkan hari ini selepas 80 jam tempoh kebakaran.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Kedah Awang Hidzel Awang Bujang berkata operasi ditamatkan pada pukul 12.07 tengah malam  dan susulan itu Pusat Kawalan Bencan Bukit Selambau ditutup.

Beliau berkata, penutupan setelah selesai kerja-kerja penyiasatan dengan unit anjing pengesan (K9) dihantar bagi tujuan  tersebut.

Menurutnya, sejak Ahad lalu tindakan operasi pemadaman dilaksanakan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Amanjaya, BBP Guar Chempedak, BBP Sungai Petani, BBP Kepala Batas dan BBP Kulim Hi-Tech serta bomba sukarela.

Ia melibatkan lebih  30 anggota termasuk daripada pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya  (Hazmat) bagi pengesanan gas.

Terdahulu, bomba menerima panggilan kebakaran pada 7.57 malam  melibatkan kebakaran  tiga gudang penyimpanan barangan terpakai   terdiri daripada logam tembaga, wayar dan bateri yang terlibat dalam kebakaran

Kebakaran itu menyebabkan berlaku letupan dan percikan 'bunga api', sebelum pihak bomba berjaya mengawal kebakaran pada 10.02 malam.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan

Menurut  kenyataan Jabatan Alam Sekitar JAS Kedah, tiga premis  terbabit dipercayai beroperasi secara haram.

JAS turut merakam percakapan dua individu iaitu pemilik tanah dan penyewa warga tempatan bagi membantu siasatan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE