fb fb fb fb fb

Operasi cari pemancing hilang di Tasik Pedu diteruskan

FOTO BOMBA

PEDU, 17 Mei- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang pemancing yang hilang selepas bot dinaiki terbalik di Empangan Tasik Pedu di Padang Terap, Kedah, semalam, terus dipergiat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang, Mohd Aminudin Mad Khozali berkata, operasi hari ini yang turut melibatkan Pasukan Khas Penyelam Air (PPDA) tertumpu di sekitar kawasan mangsa dilaporkan terjatuh.
 
Bagaimanapun, tiada sebarang petunjuk baharu diperoleh berhubung kedudukan sebenar mangsa setakat pukul 3.00 petang tadi.

Semalam, mangsa berusia 50-an dan rakannya, 55, dilaporkan terjatuh ke dalam tasik selepas bot dinaiki terbalik, sekitar pukul 6.00 petang.

Rakan mangsa berjaya diselamatkan oleh bot nelayan yang berada di kawasan berdekatan, manakala mangsa gagal diselamatkan sebelum hilang ke dalam tasik.

Operasi SAR yang ditangguh lewat malam tadi disambung semula hari ini bermula pukul 7.20 pagi tadi.

SITI AISHAH MD ISA