fb fb fb fb fb

Operasi cari mangsa tanah runtuh diteruskan hingga 10.00 malam

CAMERON HIGHLANDS, 26 Januari- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah runtuh di Blue Valley, Cameron Highlands diteruskan sehingga pukul 10.00 malam ini, bergantung kepada keadaan cuaca.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superitendan Azri Ramli berkata ketika ini operasi pencarian belum mencapai 50 peratus.

Beliau juga mengesahkan hanya lima mangsa terlibat termasuk tiga beranak dan dua rakan mereka berumur antara 25 hingga 56 tahun.

Empat daripada mangsa warga Myanmar itu merupakan pemegang Kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR).

"Pemegang Kad UNHCR yang dijumpai di lokasi itu, satu lagi belum dijumpai, ada satu lagi, yang keempat-empat telah dijumpai. Jadi setakat ini, kekuatan semua adalah 217 petugas-petugas yang sedang mencari mangsa-mangsa tanah runtuh ini", katanya dalam sidang media di lokasi kejadian. 

Ditanya sama ada kebun tersebut mempunyai permit, Azmi berkata perkara itu masih dalam siasatan.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi JBPM Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata operasi mencari dibahagikan kepada empat sektor iaitu A,B,C dan D menggunakan kaedah manual. Fokus pencarian di sektor B dan C di mana dua mayat ditemui.

"Jentera berat masih 'negative try', cari laluan lain. Kerja mencari guna cangkul dan scope. Kejadian tanah menggelongsor bersama pokok-pokok, susah hendak kenal pasti mangsa. Pasukan K9 ada mengesan beberapa lokasi", katanya.

Setakat ini tiada pergerakan tanah dikesan.

Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) serta pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) turut digerakkan.

Dalam kejadian awal pagi tadi, lima mangsa terperangkap dalam runtuhan tanah di kawasan kebun sayur di Batu 59 Blue Valley Cameron Highlands.

Dua mangsa dipercayai lelaki dewasa berjaya dikeluarkan pada pukul 5.40 pagi dan 12.05 tengah hari.

ROSLINA BINTI DIN