Operasi bawa keluar mayat di habitat buaya berjaya

Anggota bomba menjalankan operasi mengeluarkan mayat lelaki di kawasan habitat buaya

KUCHING, 1 Februari- Operasi membawa keluar mayat seorang lelaki yang tersangkut di akar pokok bakau di Sungai Samariang, di sini, malam tadi, berjaya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mayat lelaki ditemui terapung di Sungai Samariang dan operasi pengeluaran berjaya sekitar pukul 9.30 malam.
  • Operasi sukar disebabkan air pasang dan lokasi ialah habitat buaya, keselamatan pasukan diutamakan.
  • Identiti belum dikenal pasti; mayat dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan mati mengejut.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Mohd Irwan Hafiz Md Radzi dalam kenyataan berkata mayat berkenaan berjaya dikeluarkan sekitar pukul 9.30 malam hasil operasi bersama anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya.

Setakat ini identiti mayat belum dapat dikenal pasti dan bedah siasat akan dijalankan bagi menentukan punca kematian.

Jelas Mohd Irwan, mayat telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Terdahulu, sekitar pukul 10.00 pagi semalam, polis mengaktifkan operasi mengambil mayat terapung di sungai berkenaan susulan laporan penemuan oleh suami isteri dari Kampung Pulau Salak yang sedang menjala ikan di kawasan tersebut.

Operasi berkenaan berdepan kesukaran berikutan keadaan air pasang dan lokasi kejadian dikenal pasti sebagai habitat buaya, menyebabkan pasukan penyelamat perlu memastikan tahap keselamatan berada pada keadaan optimum sebelum tindakan dijalankan.

Setakat ini polis belum menerima sebarang laporan kehilangan orang yang boleh dikaitkan dengan penemuan mayat berkenaan.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan