
KUALA TERENGGANU, 15 Februari – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu mempergiatkan pemeriksaan keselamatan kebakaran melalui Op Siaga Raya 2026 peringkat negeri sebagai langkah proaktif menghapuskan risiko kebakaran di seluruh Terengganu.
- Op Siaga Raya 2026 fokus pemeriksaan premis berisiko tinggi termasuk pusat beli-belah bagi mengurangkan risiko kebakaran.
- Pemeriksaan semak sistem penggera, alat pemadam, pili bomba, pelan laluan kecemasan dan pematuhan peraturan keselamatan.
- Penguatkuasaan diperkukuh semasa dan selepas perayaan, termasuk pemantauan pusat beli-belah dan premis perniagaan terpilih.
- Sekitar 80% cuti pegawai dibekukan dan kempen kesedaran awam MBK diteruskan untuk tingkatkan kesiapsiagaan.
Ia untuk memastikan pematuhan terhadap piawaian keselamatan kebakaran dicapai serta mengurangkan risiko kehilangan nyawa dan juga harta benda.
Pengarah JBPM Terengganu, Nor Mahathir Muhamad berkata, Op Siaga Raya 2026 itu melibatkan kempen kesedaran Menghapus Bahaya Kebakaran (MBK) yang bermula pada 14 Februari hingga 18 Februari ini.
Ia memberi tumpuan kepada pemeriksaan premis berisiko tinggi termasuk pusat beli-belah.
Pemeriksaan melibatkan semakan sistem penggera kebakaran, alat pemadam api, pili bomba, pelan laluan kecemasan dan tahap pematuhan terhadap peraturan keselamatan yang ditetapkan.
“Selepas itu, kita akan kembali semula pada perayaan Hari Raya Aidilfitri dan melaksanakan penguatkuasaan secara lebih optimum supaya apabila berlaku peningkatan mendadak di pusat-pusat beli-belah, premis-premis perniagaan seperti KTCC, Mayang Mall, dan tempat tumpuan orang ramai bagi persiapan hari raya, penguatkuasaan tetap dapat dijalankan.
“Tahun ini, walaupun selepas musim perayaan, kita masih lagi menguatkuasakan peruntukan Akta Bomba 1988,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Kebakaran Sempena Op Siaga Raya 2026 Peringkat JBPM Negeri Terengganu, yang merangkumi Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri di sini.
Sebagai langkah kesiapsiagaan yang lebih menyeluruh pihaknya membekukan kira-kira 80 peratus cuti pegawai dan anggota bomba sepanjang tempoh musim perayaan.
Sementara itu, mengikut statistik, pemeriksaan MBK melibatkan 1,046 pemeriksaan pada tahun 2024 dengan 538 notis dikeluarkan.
Manakala 1,427 pemeriksaan dilakukan pada tahun 2025 dengan 434 notis dikeluarkan.
Kempen kesedaran dan pendidikan awam akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa.