PASIR PUTEH, 27 April - Polis Kelantan mengenal pasti 16 lokasi tumpuan kerap berlakunya kemalangan sepanjang Op Selamat sempena Aidilfitri tahun ini yang akan dilaksanakan bermula Jumaat ini.
Lokasi terlibat turut membabitkan kawasan berlakunya kemalangan maut terutamanya di laluan utama keluar masuk kenderaan ke negeri itu.
Menurut Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhammad Zaki Harun, antara laluan berkenaan adalah di Kilometer (KM) 59 - KM62 Jalan Gua Musang- Kuala Krai (Sungai Bayu); KM52-KM59 Jalan Gua Musang - Lojing; Jalan Kota Bharu-Pasir Puteh (Kubang Kerian-Melor), Jalan Kota Bharu- Pengkalan Chepa (Jalan Tok Guru) dan Jalan Salor Baru-Pasir Mas; Jalan Binjai-Bachok.
"Ada pendekatan-pendekatan oleh OCPD (Ketua Polis Daerah), lokasi-lokasi yang dilihat berlaku kesesakan atau lokasi yang terlibat kemalangan ini akan (kita) letakkan secara mobile (mudah alih) dan berterusan, bermakna kita bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kita akan gilir-gilirkan supaya masyarakat akan lihat sentiasa ada," kata beliau pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Op Selamat 18/22 sempena Hari Raya Aidilfitri Peringkat Negeri Kelantan di Stesen Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Bukit Jawa, di sini.
Hadir sama, Pengarah JPJ Negeri Kelantan, Mohd Misuari Abdullah.
(Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhammad Zaki Harun melancarkan
Op Selamat 18/22sempena Hari Raya Aidilfitri Peringkat Negeri Kelantan)
Op Selamat akan bermula Jumaat ini hingga 8 Mei depan membabitkan kerjasama pelbagai agensi termasuk JPJ, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Mengulas lanjut, Datuk Muhammad Zaki berkata, pihaknya juga bercadang untuk melihat keperluan memberi tempoh singkat di lampu isyarat di lokasi tertentu ketika musim perayaan.
Pendekatan ini mampu melancarkan aliran trafik terutama di laluan berisiko sesak.
Sementara itu, beliau turut mengingatkan perantau yang bakal pulang ke kampung halaman supaya merancang perjalanan balik sebaiknya selain memastikan peraturan jalan raya sentiasa dipatuhi.