fb fb fb fb fb

Op Selamat: 3,609 anggota polis bertugas di seluruh negara sempena TBC

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri

KUALA LUMPUR, 28 Januari- Seramai 3,609 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditugaskan di seluruh negara sempena sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) 2025.

Penugasan dilaksana menerusi Op Selamat yang bermula hari ini hingga 2 Februari depan, dengan meningkatkan aspek kawalan trafik.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata pihaknya memberi tumpuan kepada 76 lokasi yang kerap berlaku kemalangan serta 407 kawasan kesesakan lalu lintas.

"Untuk itu, kita telah menubuhkan satu pasukan iaitu Emergency Respond Team (ERT) di sepanjang lebuh raya. Inisiatif ini untuk kita membantu pengguna jalan raya yang terlibat dengan kemalanga atau pun sebarang perkara kecemasan.

Pasukan tersebut merangkumi pelbagai agensi dan syarikat iaitu PDRM, PLUS, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), St. John Ambulance Malaysia (SJAM).

Ini langkah awal yang kita ambil untuk menyuraikan atau pun mengatasi kemalangan tersebut selain memberi bantuan pantas kepada pengguna," kata Datuk Seri Mohd Yusri kepada pemberita, hari ini.

Beliau ditemui media selepas bersiaran di Selamat Pagi Malaysia, di sini.

Jelas beliau, orang ramai diingatkan untuk melakukan pemeriksaan kenderaan dan memastikan diri dalam keadaan baik sebelum melakukan perjalanan.

Selain itu, mematuhi peraturan serta arahan pihak penguat kuasa dan sebagainya supaya tidak menjadi punca kepada kesesakan ataupun kemalangan melibatkan orang lain .

Pelbagai agensi lain turut terlibat dalam Op Selamat antaranya Projek Lebuhraya Utara-Selatan Berhad (PLUS), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), JBPM dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM