(Anggota Trafik Melaka menyuraikan aliran trafik memasuki Melaka
sempena Op Selamat 18, 4 Mei 2022/BERNAMA)
KUALA LUMPUR, 13 Mei - Sebanyak 15,947 kes kemalangan direkodkan di seluruh negara sepanjang Op Selamat 18 yang dilaksanakan selama 10 hari sempena Hari Raya Aidilfitri, bermula 29 April lepas.
Jumlah tersebut meningkat satu peratus berbanding 15,836 kes pada Op Selamat 15/2019.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani berkata kes kemalangan maut pula meningkat tujuh peratus dengan 160 kes, berbanding 150 pada tiga tahun sebelum ini.
"Manakala jumlah kematian turut merekodkan peningkatan sebanyak empat peratus dengan 166 kes berbanding 160, semasa Op Selamat 15," katanya menerusi kenyataan media hari ini.
(Acryl Sani)
Jelasnya, peningkatan kes berlaku berikutan aliran trafik yang tinggi hingga mencecah 5 juta kenderaan.
"Berikutan pergerakan orang ramai untuk pulang ke kampung dan kembali semula ke ibu kota, PDRM melalui Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dengan bantuan pelbagai agensi masih mampu mengawal situasi di jalan raya.
"Kesesakan yang berlaku di jalan dan lebuh raya utama telah dapat dikawal dengan baik melalui Op lancar yang telah diatur gerak melibatkan semua elemen PDRM. Manakala pemantauan di udara menggunakan aset PDRM juga dilihat berkesan dalam menangani keadaan luar jangka menjadi lebih buruk," tambah beliau.
Selain itu, kes pecah rumah mencatatkan penurunan iaitu 313 kes berbanding 545 kes pada 2019.