
PUTRAJAYA, 15 Februari – Angkatan Pertahanan Awam (APM) menggerakkan 2,364 pegawai dan anggota menerusi Op Prihatin 2026 bagi memperkukuh kesiapsiagaan keselamatan awam sepanjang musim perayaan.
- APM tumpu rondaan, bantuan kecemasan dan khidmat kemanusiaan untuk keselamatan awam sepanjang musim perayaan.
- Operasi bersasar merangkumi laluan persekutuan, negeri, lokasi tumpuan pengunjung dan kawasan hotspot bencana.
- Rakyat diminta utamakan keselamatan, pastikan kenderaan selamat dan hubungi 999 atau aplikasi "Save Me 999" untuk bantuan.
Operasi berkenaan dilaksanakan melalui dua fasa iaitu 13 hingga 22 Februari serta 19 hingga 29 Mac, merangkumi perayaan Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri dengan pelaksanaan operasi berperingkat mengikut zon.
Menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM Ghazali Abd Rahman, operasi itu memberi tumpuan kepada rondaan, bantuan kecemasan serta khidmat kemanusiaan bagi memastikan kebajikan dan keselamatan rakyat terus terpelihara sepanjang musim perayaan.
“Tujuan utama Op Prihatin 2026 ialah memastikan pengguna jalan raya dapat sampai ke destinasi dengan selamat serta menerima bantuan segera sekiranya berlaku kecemasan,” katanya.
Beliau ditemui media pada Majlis Pelancaran Op Prihatin Sempena Perayaan Tahun Baru Cina APM Tahun 2026 di sini hari ini.
Op Prihatin merupakan kesinambungan Op Bantu yang direjuvensi sejak 2022 dengan skop diperluaskan meliputi laluan persekutuan dan negeri, lokasi tumpuan pengunjung serta kawasan hotspot bencana.
Sebanyak 650 unit kenderaan digerakkkan melibatkan 300 pacuan empat roda, 250 ambulans dan 100 motosikal di semua pejabat negeri dan daerah termasuk di Sabah dan Sarawak bagi memastikan tiada kawasan dipinggirkan.
“Operasi itu merangkumi 14 Pejabat Negeri Pertahanan Awam dan 197 Pejabat Daerah Pertahanan Awam atau Pejabat Unit Pertahanan Awam (APM) di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak, sekali gus memastikan liputan menyeluruh tanpa meminggirkan mana-mana kawasan,” katanya lagi.
Antara perkhidmatan disediakan termasuk respons awal kemalangan jalan raya, bantuan kes pokok tumbang, pembaikan kecil, khidmat nasihat komuniti serta rondaan di lokasi tumpuan dan kawasan tumpuan.
“Saya menyeru orang ramai agar sentiasa mengutamakan keselamatan diri dan keluarga, memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik serta mendapatkan bantuan melalui talian kecemasan 999 atau aplikasi “Save Me 999.”