
KUALA LUMPUR, 20 Januari – Operasi Pemandu Warga Asing (PEWA) yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJ WPKL) di kawasan Wangsa Maju, Setapak dan Gombak hari ini, menahan dan menyita 58 buah kenderaan atas pelbagai kesalahan.
- Operasi PEWA JPJ WPKL menahan dan menyita 58 kenderaan di Wangsa Maju, Setapak dan Gombak.
- Kesalahan termasuk tiada LKM, tiada insurans dan tiada lesen memandu melibatkan pemandu asing.
- Jumlah sitaan menurun ketara berbanding 2024 dan 2025 disebabkan penguatkuasaan berterusan.
- JPJ WPKL akan teruskan operasi, beri amaran hukuman terhadap pemilik yang benarkan warga asing memandu tanpa lesen.
Kesalahan yang dikesan termasuk tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM), tiada perlindungan insurans, dan tiada lesen memandu, membabitkan pemandu daripada Bangladesh (10), Indonesia (11), Myanmar (8), Pakistan (15), India (13) dan Palestin (1).
Tindakan saman dikeluarkan mengikut Seksyen 23(1), 23(2) dan 90(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) ke atas pemandu dan pemilik kenderaan.
Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam, berkata jumlah sitaan hari ini mencatatkan penurunan ketara berbanding tahun 2024 (586 kenderaan) dan 2025 (376 kenderaan).
“Pencapaian tahun 2024, kita telah menyita sebanyak 586 buah kenderaan untuk PEWA sahaja. Manakala pada 2025, 376 dan sehingga Januari 2026, sebanyak 58 buah kenderaan disita. Berdasarkan statistik, berlaku penurunan,” katanya.
Hamidi menjelaskan, penurunan itu adalah hasil tindakan penguatkuasaan berterusan dan kerjasama dengan agensi penguat kuasa lain. Beliau menegaskan, JPJ WPKL tetap meneruskan Op PEWA dari semasa ke semasa.
Beliau turut mengingatkan pemilik kenderaan berdaftar bahawa mereka bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kenderaan masing-masing, dan sebarang tindakan membenarkan warga asing memandu tanpa lesen untuk tujuan komersil akan dikenakan tindakan undang-undang.
“JPJ WPKL komited dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang jalan raya demi memastikan keselamatan semua pengguna dan memelihara integriti sistem pengangkutan negara,” katanya pada sidang akhbar hari ini.