
KUALA LUMPUR, 20 Februari– Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Op Pantau bermula 19 Februari hingga 30 Mac depan bagi memastikan harga barangan serta bekalan kekal mencukupi dan terkawal sepanjang Ramadan sehingga menjelang Aidilfitri.
- Penguatkuasaan kerap dan bersasar memastikan peniaga patuh peraturan harga dan tanda harga jelas.
- Wajibkan alat timbang ditentusahkan, label pembungkusan jelas serta resit dan terma pembelian dipaparkan.
- Bazar Ramadan Rahmah sediakan juadah mampu milik, sokong transaksi tanpa tunai dan program keselamatan makanan.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohd Sabri Seman, berkata operasi itu melibatkan pemantauan di premis peruncit, pasar tani, pasar raya, bazar Ramadan, bazar Aidilfitri termasuk platform jualan dalam talian.
Menurut beliau, pemantauan dan penguatkuasaan akan dijalankan secara lebih kerap dan bersasar bagi memastikan tahap pematuhan tinggi dalam kalangan peniaga.
“Sepanjang tempoh tersebut, seramai 99 pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN ditempatkan di semua lokasi terlibat.
“Peniaga diwajibkan meletakkan tanda harga dengan jelas pada setiap barangan jualan serta tidak menjual barangan pada harga yang tidak munasabah,” katanya ketika ditemui pada sesi lawatan ke Bazar Ramadan Rahmah (BRR) 2026 di Bazar Ramadan Taman Tasik Permaisuri, Bandar Tun Razak, Cheras.
Beliau turut mengingatkan peniaga supaya menggunakan alat timbang dan sukat yang telah ditentusahkan, memastikan label pembungkusan jelas, memaparkan terma dan syarat pembelian serta mengeluarkan resit kepada pembeli.
Selain itu, peniaga juga dilarang menjual barangan cetak rompak atau tiruan serta perlu menggunakan perbahasan atau perakuan halal mengikut peraturan ditetapkan.
Turut hadir dalam sesi tersebut ialah Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN WPKL, Mohd Shahran Mohd Arshad.
Mengulas lanjut, Sabri berkata bagi tahun 2026, pelaksanaan Bazar Ramadan Rahmah (BRR) di ibu negara melibatkan empat lokasi utama iaitu Bazar Tasik Permaisuri, Bazar UTC Sentul, Bazar Raja Alang dan Bazar Seksyen Satu Wangsa Maju.
BRR yang diperkenalkan sejak 2023 merupakan inisiatif KPDN bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat, khususnya golongan B40, dengan menawarkan Juadah Rahmah pada harga RM5 dan ke bawah.
Inisiatif itu turut menggalakkan transaksi tanpa tunai menerusi Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI), pelaksanaan MySaveFood Ramadan di bawah konsep Ihsan Food Bank serta memperkukuh pematuhan melalui Program PATUH di tapak bazar.