KUALA LUMPUR, 14 Mac- 3,099 premis termasuk bazar Ramadan telah diperiksa sejak Op Pantau dilaksanakan bermula 12 Mac lalu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, dalam tempoh itu, 11 kes siasatan telah dibuka termasuklah enam kes melibatkan aktiviti pencatutan dan manipulasi harga.
Notis turut dikeluarkan kepada peniaga bagi menjawab dan memberikan maklum balas tentang harga yang ditawarkan kepada pengguna.
"Kita mengharapkan aduan itu spesifik supaya kita boleh membuat pemeriksaan di lokasi yang dinyatakan dalam aduan, tidak hanya ditularkan harga tersebut."
"Pertama, aduan. Sekiranya terdapat perkara yang menjadi keprihatinan, maklumkan kepada kita di portal rasmi untuk kita membuat siasatan dengan butiran khusus. Kedua, kita mengharapkan juga kepada pengguna untuk menggunakan hak mereka dalam memilih produk pada harga yang berpatutan," kat Armizan di Parlimen, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan yang dikemukakan wakil Sri Gading, Aminolhuda Hassan.
Justeru, KPDN mengalu-alukan kerjasama orang ramai memberi maklumat serta bukti berkaitan sebarang tindakan menaikkan harga secara tidak wajar yang dikenal pasti dan siasatan serta-merta akan dilakukan di premis terbabit.