fb fb fb fb fb

OP Pantau 2025: KPDN Perak perketat penguatkuasaan

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail (dua,kiri) ketika hadir ke sesi tinjauan mesra Bazar Ramadan Rahmah (BRR) di Bazar Taman Cempaka, di Ipoh / Foto Bernama

IPOH, 6 Mac - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak mempertingkatkan pemeriksaan serta penguatkuasaan menerusi OP Pantau 2025 di lokasi bersasar bagi memastikan kepatuhan peniaga terhadap peraturan ditetapkan.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata sebanyak 11 kes melibatkan kesalahan peniaga telah direkodkan hasil pemeriksaan di 1,051 premis setakat ini.

"Kesalahan yang dicatatkan melibatkan lima kes tiada tanda harga, lima kes penggunaan alat timbang sukat yang tidak ditentu sahkan atau telah tamat tempoh, serta satu kes di bawah Akta Cap Dagangan 2019 membabitkan penjualan barang tiruan. Nilai kompaun terkumpul bagi kes-kes ini adalah RM3,800, manakala nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM84,000," katanya.

Beliau ditemui pemberita pada sesi tinjauan mesra Bazar Ramadan Rahmah (BRR) Taman Cempaka dan Program MYSaveFood Ramadan, di sini.

Tambah beliau, pihaknya turut menerima dua aduan berkaitan harga barangan mengelirukan yang melibatkan bazar Ramadan di Perak sepanjang operasi tersebut berlangsung.

Dalam pada itu, sebanyak 10 lokasi BRR akan dilaksanakan di Perak pada tahun ini dengan lapan kali pelaksanaan di setiap lokasi sebagai usaha membantu rakyat mendapatkan barangan pada harga berpatutan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN