fb fb fb fb fb

Op Pantau :1,806 premis perniagaan telah diperiksa di Terengganu

Pengarah KPDN Terengganu, Saharuddin Mohd Kia / Foto RTM

KUALA TERENGGANU, 6 April - Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Kos Sara Hidup, (KPDN) Terengganu melaksanakan pemeriksaan terhadap 1,806 premis sempena pelaksanaan Ops Pantau 2024 sepanjang Ramadhan dan menjelang Aidilfitri.

Daripada jumlah itu, sembilan kes telah diambil tindakan bermula 12 Mac lalu hingga semalam.  

Pengarah KPDN Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, ia membabitkan lima kes di bawah Akta Kawalan Harga dan AntiPencatutan 2011.

Manakala dua kes di bawah Akta Cap Dagangan 2019 dan masing masing satu kes dibawah Akta Timbang dan Sukat 1972 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

Pemeriksaan memberi fokus terhadap bekalan barang, harga barang, jualan murah, alat timbangan, barang tiruan dan pematuhan perundangan halal.

"Bulan Ramadan ini, kita telah menggerakkan 118 anggota penguatkuasa di lokasi yang menjadi tumpuan pengguna untuk kita memastikan kita dapat mewujudkan persekitaran pengguna yang selamat dan beretika dan pada masa sama juga kita telah menggerakkan 58 pegawai pemantau harga di lapangan", katanya kepada pemberita selepas melancarkan perlaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2024 di sebuah pasaraya Kuala Terengganu.

Sebanyak 20 jenis barangan diwartakan dalam skim harga maksimun tersebut selama 15 hari berkuatkuasa 5 April hingga 19 April depan.

Semua peniaga perlu mematuhi harga yang ditetapkan dengan melebelkannya dengan tanda harga bewarna merah jambu.

Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000

Manakala syarikat turut boleh dikenakan didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD