fb fb fb fb fb

Op Manis 2.0 dilanjut hingga 31 Julai

(FOTO FAIL)

PUTRAJAYA, 7 Julai - Perlaksanaan Op Manis 2.0 akan dilanjutkan sehingga penghujung bulan ini bagi memastikan bekalan dan pengedaran gula di seluruh negara stabil untuk kegunaan rakyat.

Ketua Pengarah Penguatkuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam berkata, pelanjutan operasi itu melihat kepada jumlah aduan dan pemeriksaan yang diterima sepanjang ia dilaksana bermula pada 3 Mei sehingga 30 Jun lalu.

"Op Manis 2.0 yang sepatutnya berakhir pada 30 Jun lalu kita sambung selama sebulan pada Julai ini, kalau boleh kita tidak mahu langsung ada aduan atau pun rungutan sama ada dalam kalangan pengguna atau peniaga.

“Ini merupakan langkah proaktif kerajaan melalui kementerian supaya rakyat tidak perlu gusar kerana kerajaan berusaha keras pastikan isu kepentingan rakyat ini dapat diatasi dengan berkesan,” katanya pada sidang media pelaksanaan Op Manis dan Op Tiris, di sini.

(Datuk Azman pada sidang media berhubung pelaksanaan Ops Manis dan Ops Tiris
di Putrajaya, hari ini)

Menurut Azman, hasil daripada 6,276 pemeriksaan yang telah dijalankan di seluruh negara, sebanyak 109 aduan diterima.

Katanya, daripada jumlah itu sebanyak 20 kes dikesan melibatkan kesalahan mengenakan syarat penjualan tidak sah, menjual melebihi harga kawalan, membungkus gula tanpa kebenaran pengawal bekalan dan memberi gambaran mengelirukan mengenai harga jualan.

Sementara itu, Azman berkata, KPDN turut melaksanakan Op Tiris bagi mengekang ketirisan dalam pelaksanaan subsidi diesel yang dianggarkan berjumlah hampir RM10 bilion nilai tahun lalu.

Katanya, berdasarkan statistik penguatkuasaan bermula 1 Mac sehingga Rabu lalu, sebanyak 7,625 pemeriksaan dijalankan di seluruh negara manakala 68 aduan diterima berhubung isu berkaitan.

"Daripada jumlah itu sebanyak 309 kes telah dihasilkan membabitkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM27.03 j uta,"katanya.

Azman berkata, sepanjang tempoh sama, sejumlah 3.36 juta liter dirampas membabitkan 282 tangkapan.

Katanya, ia membabitkan 62 individu warga asing manakala selebihnya 220 individu lagi warga tempatan dan pemastautin tetap.

Media Baharu