
KUALA NERUS, 15 Februari – Hampir 470 saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu atas pelbagai kesalahan sejak pelaksanaan Op Khas Tahun Baharu Cina (TBC) yang bermula Jumaat lalu.
- Hampir 470 saman dikeluarkan sepanjang Op Khas TBC, hasil pemeriksaan hampir 5,000 kenderaan.
- Pelanggaran utama: lesen tamat tempoh, tiada perlindungan insurans dan tiada lesen memandu kompeten.
- 155 pegawai dikerah, rondaan 24 jam dan penumpuan pada kawasan 'blackspot' serta kesalahan penyumbang kemalangan serius.
Pengarah JPJ Terengganu, Mohd Zamri Samion berkata menerusi operasi berkenaan hampir 5,000 kenderaan diperiksa.
Daripada jumlah itu, 342 daripadanya diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.
Paling tinggi melibatkan lesen kenderaan motor tamat tempoh (138 kes), diikuti tiada perlindungan insurans (119 kes) dan tiada lesen memandu kompeten (97 kes).
Turut dikeluarkan, 83 notis arah periksa dan 220 lain-lain notis menerusi operasi terbabit.
“Sepanjang musim perayaan, khususnya TBC ini, kita telah menggandakan pasukan untuk membuat rondaan secara berterusan selama 24 jam.
“Kita juga membuat penambahan hampir enam pasukan di kawasan Terengganu sahaja bagi memastikan pemeriksaan serta rondaan di jalan-jalan utama dan di kawasan-kawasan ‘blackspot’ dilakukan secara konsisten.
“Dalam hal itu, JPJ Terengganu telah mengenal pasti dan mengkhususkan kawasan-kawasan yang dikategorikan sebagai ‘blackspot’.
“Di lokasi tersebut, pasukan rondaan kita akan memperlihatkan kehadiran bagi memastikan Op TBC berjalan lancar,” katanya.
Beliau ditemui media selepas Op Khas TBC 2026 di Tol Gemuruh Kuala Terengganu.
Tambahnya, 155 pegawai dan anggota penguat kuasa akan bertugas sepanjang tempoh pelaksanaan operasi khas itu.
Tumpuan diberi kepada sembilan kesalahan yang dikenal pasti menjadi penyumbang utama kemalangan serius termasuk memandu melebihi had laju dan memandu di lorong kecemasan.