fb fb fb fb fb

Op Khas Motosikal: lebih 28,000 notis pelbagai kesalahan dikeluarkan

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli menyampaikan lesen kepada penunggang pada Program MyLesen 2024 / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 8 November - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 28,811 notis atas pelbagai kesalahan dalam Op Khas Motosikal sejak dilakukan pada 1 November lepas.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata setakat hari ketujuh operasi dijalankan, tiada lesen memandu dan cukai jalan antara kesalahan paling banyak dikesan.

Tambahnya, daripada 59,116 motosikal diperiksa, sebanyak 8,988 dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan termasuk 282 buah motosikal disita.

"Sebanyak 23,895 saman telah dikeluarkan bagi kesalahan tiada lesen memandu dan cukai jalan sahaja.

"Pelbagai alasan diberikan seperti tidak sempat untuk memperbaharui cukai jalan dan sebagainya.

"Saya nasihatkan semua pengguna jalan raya khususnya penunggang motosikal untuk memperbaharui cukai jalan dan insurans kerana ia merupakan satu keperluan," katanya kepada pemberita di Majlis Penutup Program MyLesen 2024 di sini, hari ini.

Tegas beliau, pihak JPJ tidak akan teragak-agak menyita mana-mana motosikal sekiranya didapati tiada insurans, cukai jalan serta membuat modifikasi dan pengubahsuaian yang ekstrem.

Dalam majlis berkenaan, seramai 1,824 menerima manfaat MyLesen B40 terdiri Lesen Memandu Malaysia (LMM) Kelas B2 (1,790), Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) E-Hailing (14) dan PSV Bas (20).

Trainee